Wednesday, May 12, 2010

Pengertian IDDAH

Definasi iddah
Menurut bahasa, iddah bermakna bilangan. Menurut syarak bermaksud masa menunggu bagi wanita yang tercerai untuk diketahui bahawa rahimnya bebas dari kandungan atau untuk ta'abbud atau untuk berkabung atas kematian suami.

Ta'abbud ialah: Suatu perkara yang tidak boleh difikirkan secara logik mengenai maknanya, samada ia berbentuk ibadat atau tidak.

Hukum iddah

Iddah adalah wajib ke atas perempuan, dan dalil yang mendasari hukum ini ialah:
i. Firman Allah Taala mengenai iddah wanita yang kematian suami:
Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat pada diri mereka menurut makruf. Allah Mengetahui apa yang kamu berbuat. (Surah al-Baqarah: 234)

ii. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tinggallah engkau di rumahmu sehingga habis masa iddahmu, maka beriddahlah engkau di sana selama empat bulan sepuluh hari." (HR Abu Daud & Tirmizi) Dengan ini maka tidak ada iddah bagi lelaki. Mereka dibenarkan berkahwin dengan perempuan lain sejurus selepas perceraian berlaku.
Hikmat disyariatkan iddah

Pada asalnya iddah disyariatkan adalah untuk memelihara agar tidak berlaku percampuran keturunan. Hikmat lain yang tidak boleh dipinggirkan ialah untuk taabbud, berkabung atas kematian suami, memberi peluang untuk suami selepas talak agar dapat rujuk kembali kepada bekas isterinya. Dan pada talak ba'in, iddah yang diwajibkan adalah untuk memastikan rahim perempuan bebas dari kandungan sebagai langkah untuk mencegah bercampurnya nasab. Tujuannya adalah untuk memelihara nasab.

Sebab-sebab wajib iddah

Secara umumnya, iddah diwajibkan dengan dua perkara, iaitu talak dan kematian. Manakala fasakh pula adalah seperti talak. Dan talak atau kematian tersebut hendaklah berlaku selepas terjadinya persetubuhan antara pasangan suami isteri, samada melalui perkahwinan yang sah, fasid atau syubhat. Begitu juga setelah suami memasukkan zakar tambahan , zakar yang kebas atau memasukkan mani ke dalam faraj.
Dengan ini iddah diwajibkan dengan salah satu dari perkara-perkara di bawah ini, iaitu:

1. Perceraian yang berlaku selepas terjadi perhubungan seks antara suami dan isteri samada dari pernikahan yang sah atau fasid. Dan samada perceraian itu berlaku dengan sebab talak atau fasakh, atau kematian.

2. Perceraian yang berlaku disebabkan oleh persetubuhan syubhat. Contohnya ialah seperti seorang suami yang menyangka perempuan yang sedang tidur di biliknya adalah isterinya. Kemudian dia menyetubuhi perempuan itu. Setelah itu barulah disedari bahawa perempuan iu bukanlah isterinya. Jika perempuan itu mempunyai suami, maka suaminya tidak boleh mengadakan hubungan seks dengannya selagi tempoh iddah belum tamat. Ini adalah untuk memastikan bahawa rahimnya benar-benar telah bebas dari kandungan.

Dua perkara di atas tidak berbeza iddahnya, samada perceraian tersebut dengan talak atau fasakh. Begitu juga tiada bezanya, samada dengan persetubuhan yang dihalalkan atau yang diharamkan seperti persetubuhan semasa isteri sedang haidh. Dan samada ia dilakukan pada faraj atau pada dubur isteri.

Bagi orang yang berzina pula, tidak wajib iddah kerana iddah adalah untuk memelihara nasab dan anak zina tidak dinasabkan kepada lelaki yang berzina.

3. Selepas kematian suami pada akad nikah yang sah, sekalipun isteri belum dicampuri oleh suami dan masih kanak-kanak.

Kadar iddah iddah kematian suami Iddah isteri yang tidak dalam keadaan hamil ketika kematian suaminya ialah empat bulan sepuluh hari menurut kiraan bulan Qamariah . Dan jika selepas kematian itu isteri sedang hamil, maka iddahnya ialah dengan iddah kehamilan. Tempoh empat bulan sepuluh hari ini dikira dari tarikh kematian suaminya, firman Allah Taala:

Dan disyaratkan pada iddah kematian ini ialah pernikahan yang sah, dan ianya berkekalan sehingga pada saat kematian. Samada isterinya itu telah dicampuri ataupun belum.

Iddah perempuan yang kehilangan suami
Kehilangan suami ialah ghaib yang tidak diketahui samada masih hidup ataupun telah mati. Contohnya seorang suami yang pergi ke suatu tempat seperti pergi ke masjid untuk menunaikan solat, kemudian dia tidak pulang ke rumah, atau hilang semasa peperangan, atau hilang semasa belayar dengan kapal laut.

Suaminya ini tidak boleh dihukumkan sebagai telah mati dalam pembahagian harta pusaka, dan begitu juga dalam masalah perkahwinan. Dengan ini perempuan berkenaan tidak boleh beriddah sehingga telah benar-benar diyakini bahawa suaminya telah mati atau telah menjatuhkan talak.

Perpindahan kepada iddah kematian Jika seorang perempuan yang sedang menjalani tempoh iddah dengan sebab talak ruj'i, tiba-tiba kematian suami, maka wajiblah berpindah kepada iddah kematian iaitu empat bulan sepuluh hari.
Manakala jika dia sedang beriddah dengan sebab talak ba'in pula, dia wajib meneruskan iddah asalnya, iaitu tidak berpindah kepada iddah kematian.

Hukum-hakam yang bersangkutan dengan iddah
Terdapat beberapa hukum yang berhubungkait dengan perempuan yang sedang iddah yang perlu dipatuhi, iaitu:

i. Haram dipinang
Seorang lelaki asing tidak dibenarkan meminang secara terus-terang terhadap perempuan yang sedang menjalani tempoh iddah, samada iddah dengan sebab tertalak atau kematian suami.
Mengenai peminangan secara sindiran pula, tidak dibenarkan kepada perempuan yang sedang beriddah sebab tertalak, tetapi dibenarkan kepada perempuan yang beriddah sebab kematian suami.

ii. Haram berkahwin.
Tidak boleh bagi seorang lelaki asing mengahwini perempuan yang sedang menjalani tempoh iddah. Jika dilakukankan juga, maka nikahnya adalah batil. Wajib dipisahkan antara pasangan ini. Namun bagi yang empunya iddah (bekas suami) boleh mengahwininya.

iii. Haram keluar dari rumah
Bagi perempuan yang sedang menjalani sebarang bentuk iddah diharamkan keluar dari tempatnnya menjalankan iddah kecuali jika ada keuzuran.
Bagi perempuan yang tertalak dengan talak ba'in atau kematian suami, boleh keluar pada waktu siang untuk membeli makanan, sayuran atau lain-lain barang keperluan. Dan untuk perkara ini tidak dibenarkan keluar pada waktu malam. Walaubagaimanapun dia dibenarkan keluar pada waktu malam ke rumah jirannya dengan tujuan yang dibenarkan seperti mahu menjahit pakaian, bercakap sesuatu perkara yang penting atau sebagainya. Hal ini disyaratkan tidak ada lelaki di tempat tersebut yang dapat berbual-bual atau beramah mesra dengannya. Dan selepas selesai urusan di tempat itu, dia dikehendakki pulang dan bermalam di rumahnya sendiri.

Perempuan yang sedang dalam tempoh iddah raj'i pula, tidak dibenarkan keluar rumah kecuali telah mendapat keizinan dari bekas suaminya atau tanpa keizinannya tetapi dalam keadaan darurat. Kerana bekas suaminya itu masih berkewajipan menanggung seluruh nafkahnya. Seperti juga hukumnya dengan perempuan yang tertalak dengan talak ba'in yang sedang hamil.

Perempuan yang sedang iddah kerana kematian suami dibenarkan berpindah rumah sekiranya dia khuatir akan kebinasaan diri, anak atau hartanya.

iv. Kewajipan tempat tinggal dan nafkah
Nafkah dan tempat tinggal adalah hak perempuan yang wajib diberikan oleh suami.
Mengenai tempat tinggal, iaitu tempat tinggal di mana di mana terjadinya perceraian, samada dengan talak atau kematian.

Suami tidak dibenarkan tinggal serumah dengan bekas isterinya itu atau memasukki tempat di mana bekas isterinya itu berada tanpa membawa bersama mahram. Larangan ini adalah untuk mengelakkan terjadinya khalwat yang sememangnya diharamkan terhadap pasangan ini. Manakala bekas isteri pula wajib menahan atau melarang suami dari melakukan perkara tersebut jika berkemampuan.

Mengenai kewajipan nafkah pula, perinciannya adalah sebagai berikut:

a. Jika perempuan yang beriddah dari talak raj'i, maka wajib bagi suami memberi isteri nafkah, iaitu makanan, tempat tinggal dan pakaian. Kerana isteri yang tertalak dengan talak raj'i masih dianggap sebagai isterinya lagi selama tempoh iddah belum berakhir.

b. Jika beriddah dari talak ba'in, perlu dilihat; jika dia sedang hamil maka wajib memberi nafkah seperti di atas iaitu makanan, tempat tinggal dan pakaian. Jika tidak dalam keadaan hamil, maka hanya diwajibkan menyediakan tempat tinggal sahaja. Dan tidak diwajibkan nafkah makanan dan pakaian.

c. Jika iddah kerana kewafatan suami, tidak wajib diberi nafkah kerana perkahwinan mereka telah berakhir dengan kematian.
d. Jika iddah dari perkahwinan yang fasid atau syubhat, maka tidak wajib diberikan nafkah.

v. Berkabung

Berkabung menurut bahasa ialah menegah dari berhias. Dan menurut syarak pula ialah meninggakan perhiasan, celak dan minyak wangi. Dan tidak mengapa jika menghias tempat tidur atau perkakas rumah. Begitu juga dibolehkan duduk di atas sutera.
Diharuskan seorang perempuan berkabung di atas kematian saudara maranya seperti bapa, ibu dan adik selama tiga hari sahaja. Dan haram melebihi tempoh ini. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Ertinya: Tidak halal bagi seorang perempuan muslimah yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung melebihi tiga hari kecuali berkabung untuk suaminya, iaitu empat bulan sepuluh hari. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan suami pula berhak melarang isterinya dari berkabung atas kematian saudara-maranya kerana berhias adalah hak suami.

Berkabung adalah diwajibkan kepada perempuan yang kematian suami. Tempohnya ialah empat bulan sepuluh hari. Manakala perempuan yang tertalak dengan talak raj'i pula tidak diwajibkan berkabung. Dia boleh berhias untuk bekas suaminya itu, agar membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula. Tetapi jika dengan berhias tidak boleh diharapkan lagi untuk suami merujuk semula, maka sunat hukumnya berkabung.

Bagi perempuan yang tertalak dengan talak ba'in pula, hanya disunatkan berkabung, agar berhiasnya itu tidak membawa kepada suatu kerosakan.
Berkabung dengan meninggalkan perhiasan iaitu meninggalkan perkara-perkara di bawah ini:
1. Memakai perhiasan emas, perak dan sutera. Termasuk di dalam maksud perhiasan di sini ialah mutiara, intan, permata dan lain-lain.
2. Memakai harum-haruman.
3. Memakai minyak rambut atau minyak untuk seluruh badan.
4. Memakai celak.
5. Memakai inai.
6. Pakaian yang berwarna sebagai perhiasan.
Dalam enam perkara di atas, dikecualikan memasuki bilik air sendiri untuk mencuci rambut dengan sabun atau seumpamanya. Begitu juga dengan memotong kuku dan mencabut bulu ketiak atau ari-ari.
------------
Kembali kepada soalan:
Soal 1: Apakah perkara perkara yg dilarang dilakukan oleh seorang wanita yg masih dlm edah (4 bulan 10 hari) kematian suami?
Jawab: Yang dilarang ialah: 1. Berkahwin 2. Keluar rumah 3. Berhias (Tidak berkabung)

Soal 2: Jika dilakukan perkara yg dilarang semasa edah, apakah kesannya kepada roh suami?
Jawab: Jika isteri melakukan perkara yang dilarang semasa iddah, roh suami tidak menerima kesan apa-apa. Si isteri yang melakukan larangan syarak, maka dia sendirilah yang akan menanggung dosanya. Orang lain tidak terbabit dengan penanggungan dosa berkenaan.

Ini bermakna, si suami di dalam kubur akan mendapat nikmat kubur jika dia seorang yang mukmin soleh, sekalipun si isteri melakukan larangan semasa iddah. Dan, sebaliknya si suami akan mendapat siksa kubur jika dia gagal menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Munkar dan Nakir. Siksaan ini bukanlah disebabkan oleh dosa yang dilakukan oleh si isterinya di dunia kerana melakukan perkara yang dilarang ketika iddah, tetapi kerana dosa yang dia sendiri lakukan ketika hidup di dunia.

Namun si suami akan menanggung dosa jika dia semasa di dunia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami terhadap ilmu-ilmu fardu ain isterinya. Pengabaiannya ini menyebabkan si isteri tidak kenal dosa dan pahala, halal dan haram. Suami menanggung dosa ini adalah kerana pengabaian tanggungjawabnya, bukan kerana maksiat yang dilakukan oleh isteri. Perlu diingatkan bahawa di dalam Islam tidak ada konsep menanggung dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Jika kawan serumah anda meminum arak, maka dia sendirilah yang menanggung dosanya. Anda tidak akan dibebankan sama dengan dosa kawan anda itu. Tetapi, anda akan dikira berdosa seandainya anda tidak menasihatinya. Dosa ini adalah dosa pengabaian tangunggjawab terhadap amar makruf nahi munkar, bukan dosa meminum arak oleh kawan anda.

Soal 3: Bolehkah wanita yg di dalam edah meninggalkan rumahnya untuk tujuan seperti bekerja, ziarah ibu, dsb...?
Jawab: Sila lihat di sini… Dan sudah menjadi kelaziman wanita hari ini keluar bekerja. Ia sudah menjadi perkara yang perlu dengan keadaan ekonomi yang semakin mencengkam. Dahulu si isteri terpaksa membantu suami memperbaikki keadaan ekonomi keluarga. Kerana jika tidak, anak-anak tidak bersekolah, bil itu dan ini yang menjadi keperluan asasi tidak dapat dilunasi. Pekerjaan zaman ini bukanlah boleh keluar masuk sesuka hati. Kalau terniat mahu pergi kerja, kitapun pergi. Kalau terasa malas, maka kitapun ponteng. Terlintas nak cuti, cutilah kita. Pekerjaan sekarang ada peraturannya yang ketat. Ada tatacara yang membelenggu. Kalau seorang guru wanita itu kematian suami, mungkin dia akan diberi cuti beberapa hari. Dan apakah dia boleh meneruskan cutinya untuk duduk di rumah selama 4 bulan 10 hari? Sudah tentu tidak boleh. Oleh itu wajarlah guru wanita ini keluar rumah untuk pergi bekerja, tetapi dengan syarat dia menjaga ketat peraturan-peraturan lain semasa menjalani iddah.

Menurut Dr Yusof al-Qardhawi:
"Namun bukanlah bererti dia (perempuan yg sedang iddah kematian suami) tidak boleh keluar rumah langsung. Jika ada keperluan, dia dibenarkan keluar rumah. Keperluan tersebut seperti berubat atau membeli keperluan yang tidak ada orang lain yang membelikannya, atau pergi ke tempat kerja sesuai dengan profesionnya seperti guru, doktor, jururawat, atau sebagainya.."
Lain-lain perkara, keluar rumah dengan tidak ada keuzuran adalah haram samasekali.

Soal 4: Apakah perkara perkara yg sebaik baiknya dilakukan oleh wanita yg masih dalam edah kematian suami?
Jawab: Perkara terbaik (yang paling minimum) yang perlu dilakukan oleh wanita yang sedang beriddah ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak ketika iddah.

No comments: