Wednesday, May 12, 2010

Dalam Iddah

Iddah atau Edah, satu perkataan yang semua orang pernah dengar tetapi tak semua orang faham akan ertinya. Apa yang kita fahami ialah apabila suami meninggal atau berlaku perceraian, wanita secara automatiknya berada dalam iddah iaitu selama 4 bulan 10 hari. Itu sahaja yang kita tahu berkenaan dengan iddah selain tidak boleh menghias diri dan berpergian ke tempat yang penting untuk dikunjungi.

Sewaktu ke kelas agama ataupun ceramah agama jarang diceritakan bab iddah, kalau ada pun hanya sepintas lalu sahaja. Sehinggakan dalam bab buku-buku agama dan kitab-kitab pun kurang diceritakan.

Apabila menghadapi situasi tersebut, saya terpaksa merujuk buku-buku agama bab iddah, dan seperti dinyatakan terlalu ringkas dan tanpa huraian. Nasib baik kawan-kawan menolong dan ustaz juga banyak membantu terutama Ustaz Hj. Md. Isa Abul Rahman dari Pejabat Mufti Kedah yang kelasnya saya ikuti tiap hari selasa di Wisma PKNK. Terima kasih banyak Ustaz dan tidak ketinggalan saua terpaksa menanya pada Lama Web JAIS negeri Selangor mengenai bab Iddah ini.

Alhamdullilah saya mencuba sedaya upaya mematuhi perintah dan larangan dalam iddah kerana saya rasa seperti suami akan menanggung dosanya kalau saya melanggar pantang Iddah walaupun sebanarnya dosanya saya yang tanggung sendiri.

Apabila suami meninggal dunia, saya menanggalkan semua perhiasan yang saya pakai, walau pun tiada apa perhiasan yang saya pakai kecuali cincin tunang dan wedding ring serta rantai mas kahwin, selain daripada gelang crystal sekali sekala. Sewaktu ke pejabat Ton menyatakan rantai yang tak nampak pun kena tanggalkan kerana ianya juga perhiasan.

Pakaian ke pejabat sewaktu dalam iddah juga hanya pakaian yang suram warnanya (light colors) sementara saya hanya mengenakan tudung putih atau hitam sahaja. sememangnya saya memang tidak bermakeup ke pejabat (lip stick pun memang tak pakai), jadi muka saya tak ada pucat semacam sahaja.

Terima kasih kepada kawan-kawan yang membeli breakfast untuk saya sepanjang dalam Iddah teruma kepada Ton dan Fadzilah kerana membeli breakfast , kerana menurut ustaz tak payahlah ke kantin, biar kawan tang belikan sahaja. Kadang-kadang bila sempat saya akan bawa bekalan ke pejabat. Ustaz juga kata tak payah ikuti kelas agama dalam waktu iddah kerana bukan wajib.

Ada juga perkara yang perlu dirujuk ke JAIS kerana mereka ada bahagian soal jawab agama online, contonhnya kalau nak berkunjung ke rumah keluarga dan ibu bapa dalam iddah. Sekiranya lawatan ke rumah keluarga bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim, maka digalakkan begitu juga dengan melawat ke pusara suami. Walau bagaimana pun saya tidak pergi ke kenduri kahwin sewaktu dalam iddah kerana rasanya belum boleh lagi meghadapi crowd.

Sekiranya terpaksa ke outstation terutama yang perlu menginap seperti ke KL saya terpaksa cakap dengan pengarah saya masih dalam iddah. alhamdulillah pengarah faham.

Sebenarnya iddah banyak membantu wanita, ianya sebagai perisai yang invisible yang melindungi wanita secara emosi dan fizikal. Waktu inilah kita belajar mengenal diri sendiri, mempelajari erti hidup semula dan belajar menghadapi cabaran yang mendatang. alangkah indahnya sekiranya tempoh iddah diberi cuti tanpa rekod sekurang-kurannya sebulan.

Walaupun anda masih fragile (memang saya amat terasa fragile dalam tempoh iddah), anda perlu membereskan masalah menutup bank akaun suami, EPFnya, Tabung Hajinya, ASN khiarat kematian dan sebagainya. Umpamanya di EPF perlu pergi dalam masa sebulan, selepas sebulan tak dapat khiarat kematian. Bayangkanlah saya ke tempat-tempat berikut after 2 minggu dan tiap kali disoal oleh pegawai, air mata akan mengalir, tapi memang tak mampu dikawal, tetapi perkara tersebut perlu dibereskan dengan segera sewaktu dalam cuti.

No comments: